Teknik Mencandat Sotong Mengabang Perairan Tioman.

Seperti yang kita sedia maklum, perairan Tioman dan sekitarnya merupakan perairan yang kaya dengan spesis-spesis ikan dan sotong. Kali ini sotong mengabang menjadi target kami. Sotong ini sesuai dipancing samada di siang hari atau dimalam hari. Pergerakan meninggalkan jeti seawal pagi adalah penting bagi memaksimakan masa memancing.

Sotong mengabang menggunakan penyamaran mereka untuk memburu dan menyelinap mencari mangsanya. Mereka berenang di bahagian dasar di mana udang dan ketam kerap berada. Dengan mengeluarkan pancutan air untuk mendedahkan mangsa yang tertimbus di dalam pasir, sotong mengabang akan untuk menangkap mangsa ketika mereka cuba melarikan diri.

Teknik mencandatnya pun pelbagai. Memandangkan kami berada diatas bot 2 teknik mencandat dilakukan iaitu teknik Vertical Jigging dan teknik Tip Run yang menggunakan pemberat khas yang dipasang pada kepala candat.

Kaedah vertical jigging menggunakan satu candat adalah amat sesuai semasa mencandat sotong mengabang berbanding menggunakan beberapa buah candat seperti mencandat sotong jarum /  sotong torak. Ini kerana sotong mengabang tidak duduk dalam satu kumpulan yang besar seperti sotong jarum / sotong torak dan habitat sotong mengabang yang lebih dekat dengan dasar lautan.

Kaedah Tip Run yang popular di Jepun pula semakin menjadi perhatian dikalangan pemancing-pemancing di Malaysia dimana kini kita boleh melihat semakin banyak penjualan pemberat kepala candat (squid jig tip sinker) di kedai-kedai barangan pancing di Malaysia. Teknik ni memberikan lebih luas radius pancingan serta membolehkan pemacing casting candat lebih jauh untuk mencari kawasan yang berpotensi mempunyai kawanan sotong. Dengan kaedah Tip Run, candat akan dilontar dan dibiarkan tenggelam berhampir dengan dasar. Setelah itu karauan dibuat dengan beberapa pergerakkan jerking hujung joran bagi menarik perhatian sotong mengabang. Kebiasannnya sotong mengabang akan mengambil candat ketika candat turun semula ke dasar.

Kesemua kami menggunakan candat Bakau Hanta Egi dan Bakau Batik Squid Jig dengan variasi warna yang berbeza. Sementara peralatan pula kami menggunakan rod Ajiking Mabang, Ajiking Atom Jig dan Okuma Aria yang dipasang dengan kekili Ajiking Zigmax Limited Edition, Ajiking Mackerel dan Okuma Ceymar C30S. Kekili – kekili ini dilengkapi dengan mainline 10 lbs – 15 lbs.

Penggunaan drag yang sesuai amat penting dalam memancing sotong mengabang ini. Drag yang tinggi selalunya akan mengakibatkan sotong mudah terlucut, dan penggunaan drag yang terlalu rendah pula kan menyebabkan sotong di ‘curi’ ikan pemangsa kerana terlalu lama berada didalam air.

Selain itu penggunaan rod yang sesuai contohnya seperti Ajiking Mabang dan Okuma Aria akan memberikan lebih keseronokan semasa mencandat sotong mengabang ini. Lenturan rod yang cantik serta pecutan gear “reverse” sotong mengabang menyebabkan permainan semakin menarik.

Teknik menaikkan sotong keatas bot juga penting bagi mengelakkan di’tembak’ dakwat sotong. Sotong akan dinaikan secara berhati-hati serta kepala sotong diarahkan kebawah semasa diangkat bagi membolehkan sotong membuang dakwat @ air yang ada didalam badannya. Meletakkan sotong secara perlahan-lahan didalam bekas yang disediakan juga akan menjamin sotong tidak stress dan mengeluarkan dakwat didalam bekas yang mana ia akan mem’banyakkan kerja’ sekiranya si sotong mengeluarkan dakwatnya didalam bekas tersebut.Terdapat juga petua agar mengasingkan sotong dari bekas yang mengandungi ikan. Ini bagi mengelakkan ikan dari rosak terkena dakwat sotong.

Apa-apa pun permainan sotong mengabang amat menyeronokkan bila kena musim dan kawasannya. Bahan-membahan ahli komplot yang berada diatas bot juga menghangatkan lagi cabaran utuk menaikkannya. Inilah yang membuatkan kami tidak sabar untuk menanti trip mengabang yang akan datang!