Memancing pada awal tahun selalu memberikan perasaan istimewa, terutama apabila berjaya menangkap ikan pertama pada tahun 2024. Bagi ramai pemancing, ikan pertama ini sering dianggap sebagai petanda baik untuk trip mancing yang bakal mendatang. Namun, saya baru dapat peluang memancing pada baru-baru ini kerana di himpit dengan kesibukan dunia.
Pada pagi yang tenang di jeram sejuk yang terpencil, saya memulakan hari dengan memasang set Ultra Light daripada jenama Okuma dan memilih umpan casting Shinju Minnow terbaik. Dengan harapan tinggi, saya melontar gewang ke kawasan air yang laju di ikuti dengan karauan yang sederhana laju. Udara segar dan bunyi burung berkicauan menambah keindahan suasana memancing.
Selepas beberapa minit memujuk dengan penuh kesabaran, saya mendapat sambaran rakus pada tali pancing. Dengan penuh berhati-hati, saya menggulung tali perlahan-lahan, memastikan tidak terlalu gelojoh dengan paksaan agar ikan tidak terlepas. Ketegangan semakin memuncak apabila ikan kelihatan mula melawan dan melarikan diri mengikut arus deras, tetapi akhirnya, dengan sedikit usaha, saya berjaya membawa naik seekor ikan Pelian yang bersaiz sederhana.
Kejayaan ini bukan sahaja memberi kepuasan, tetapi juga menambah semangat untuk terus memancing sepanjang tahun. Ikan pertama tahun 2024 ini menjadi kenangan manis dan simbol harapan bagi lebih banyak tangkapan yang berjaya di masa hadapan. Memancing bukan sahaja tentang menangkap ikan, tetapi juga tentang menikmati setiap detik dan mencipta kenangan yang bermakna.