Ikan Siakap

Ikan siakap atau lebih dikenali sebagai ikan selunsung di Sabah dan Sarawak merupakan spesis ikan yang pernah menjadi topik hangat kerana harganya yang mencecah RM1,000.00. Disebabkan permintaan yang tinggi maka ikan ini juga telah dikomersialkan. Habitat ikan siakap ini hidup di muara sungai air payau, tidak ada masalah juga untuk siakap hidup di air tawar mahupun air masin sahaja.

Dari segi pemakanannya pula, ikan ini merupakan pemangsa kerana habitat pemakanan yang gemar memakan anak-anak ikan, udang, serangga kecil seperti cengkerik manakala ikan siakap kecil pula memakan zooplankton iaitu hidupan planton halus dalam air.

Teknik untuk memancing ikan ini adalah dengan menggunakan gewang udang ataupun anak ikan. Sekiranya anda menggunakan umpan, adalah digalakkan untuk menggunakan makanan diet utama ikan siakap seperti ikan basung (ikan kembung) dan juga udang hidup.

Cabaran yang sering dihadapi oleh para pemancing apabila ‘bertembung’ dengan ikan ini ialah kesukaran untuk mendaratkannya kerana sifat juang ikan Siakap yang sangat tinggi dan lincah melompat diatas permukaan air sambil mengeleng kepala untuk membuang matakail, tetapi ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menaikkan ikan ini.