Ikan Ebek Bulat

Ikan yang mempunyai kemampuan untuk membesar sehingga 30kg dengan kepanjangan 150 cm ini merupakan spesis ikan laut tropika dalam kelaurga Jack iaitu Carangidae. Nama lain ikan Ebek Bulat ialah African Pompano. Spesis ini terkenal kerana sering dijadikan ikan sukan dalam kategori peringkat tinggi. Hal ini demikian kerana ikan ini merupakan spesis terkuat dan besar dalam keluarga Jack tersebut.

Mengikut data taburan, ikan ini lebih sinonim dengan laut dengan suhu 18 hingga 27 °C tapi ada juga yang ditemui di perairan pantai. Kawasan yang terkenal dengan ikan jenis ini ialah Amerika Selatan dan Afrika, Lautan India, Asia, Australia dan kawasan laut Pasifik.

Dari segi fizikal dapat kita lihat bahawa ikan ini mempunyai ekornya meruncing di kedua-dua sisi. Ikan ini mempunyai perut dan atas badan yang cembung, kulitnya tidak bersisik besar dan hanya tertanam sisik kecil di bahagian tubuh yang mana bahagian posteriurnya mempunyai 12-30 sisik. Dari segi warna pula bahagian bawah ikan ini berwarna keperakan, bahagian atas badan berwarna biru keperakan atau biru hijau metalik dan lebih gelap di bahagian kepala dan bahunya.

Sekiranya anda berniat untuk menjadikan ikan ini lawan anda, umpan terbaik yang boleh digunakan ialah umpan sotong atau udang hidup kerana ikan ini dikatakan lawan yang liat untuk dikalahkan. Dari segi teknik, teknik jig boleh digunakan dengan mengambil kira faktor seperti warna jig yang dipilih. Anda digalakkan untuk memilih bulan Februari sehingga Jun untuk mengatur ‘jadual pertarungan’ anda dengan ikan ini.