Dianggap sebagai satu simbol kejayaan, ikan kerapu mempunyai isinya yang sedap, sangat susah didapati dan amat bernilai tinggi di pasaran. Kawasan laut yang berstruktur merupakan lubuk untuk mencari ikan ini tetapi ianya masih susah didapati kecuali di sesetengah lubuk yang amat jarang dikunjungi oleh nelayan dan pemancing. Kerapu seringkali digambarkan sebagai pemangsa yang menyambar mangsanya dengan rakus dan kemudian membawanya secepat mungkin masuk ke struktur atau lubang yang menjadi kediamannya. Terdapat beberapa cara untuk menumbangkan ikan ini.
Antaranya, para pemancing haruslah menggunakan peralatan dari jenis yang kuat dan kasar. Penyediaan kekili dan joran yang berkekuatan berat amat disarankan kepada para pemancing untuk menjamin asakan dalam pertahanan awal yang kasar dari kerapu. Alatan lain yang perlu disediakan pula ialah tali utama, mata kail dan perambut juga perlulah terdiri daripada jenis yang tahan, kuat dan kasar.
Pada kebiasaannya, tabiat pemakanan kerapu dikatakan sangatlah tidak memilih tetapi ia gemar menerkam umpan yang agak besar. Ikan apollo seperti selayang, selar dan kembong, dan yang cukup berkesan ialah seekor tongkol segar merupakan tarikan utama bagi kerapu. Selain tongkol, kurita hidup juga menjadi umpan istimewa kerapu. Namun kerana saiznya agak kecil, ia sering dikacau terlebih dahulu oleh pemangsa lain khususnya jenahak dan ini boleh menganggu konsentrasi kita jika rancangan utama kita ialah menjerat sang kerapu.
Aksi melawan kerapu yang betul adalah satu syarat terpenting untuk mengelak si nakal ini dari masuk ke sarang dan menyebabkan kita menggigit jari. Taktik yang paling asas ialah kita jangan memberikan sebarang peluang kepada si kerapu untuk menarik tali keluar dari kekili dan memalingkan kepalanya ke bawah. Jika ikan ini berjaya berbuat demikian, si kerapu tadi akan menuju terus ke struktur berkarang dan pasti berjaya membelit atau memutuskan tali. Jika kepalanya berjaya dihala ke atas dan ia sudah ditarik ke pertengahan air, tidak akan wujud sebarang masalah untuk menewaskannya kerana ketika itu ia sudah lemah dan tidak berdaya untuk melawan lagi.