Tips Memancing Ketika Musim Monsun

Musim monsun merupakan waktu di mana angin bermusim di Asia Selatan bertiup dari Barat Daya pada musim panas dan Timur Laut pada musim sejuk. Perubahan angin monsun selalunya akan menyebabkan musim hujan sewaktu monsun Barat Daya bertiup dari bulan April hingga Oktober. Lazimnya bagi kaki pancing musim ini boleh sahaja menjadi musim mencabar untuk mereka hadapi ketika memancing tetapi kepuasaannya dapat dirasai apabila beberapa jenis ikan mula ditundukkan. Perubahan angin dan cuaca terutamanya ketika musim hujan menjadi antara cabaran yang perlu diatasi sekiranya ingin ‘bermain’ dengan ikan pada musim monsun.

Terdapat banyak tips terutamanya dari segi langkah keselamatan ketika memancing pada musim angina monsun tetapi langkah yang paling penting sekali ialah persediaan sebelum musim ini bermula. Laporan cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia perlulah sentiasa diikuti. Laporan ini memberikan kita gambaran tentang beberapa jenis nasihat dan amaran cuaca seperti amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora. Nasihat ataupun amaran ini membolehkan kita merancang dan memutuskan sama ada untuk keluar memancing ataupun tidak.

Sekiranya anda masih ingin meneruskan ‘perjuangan’ anda sebagai pencinta kaki pancing, anda dinasihatkan untuk tidak menggunakan kapal ataupun bot kecil kerana dikhuatiri kenderaan ini tidak mampu untuk melawan sekiranya ribut atau angina kencang terjadi. Kelengkapan lain yang perlu disediakan ialah dari segi pemakaian jaket keselamatan dan juga baju hujan. Memandangkan penglihatan dan pergerakan kita mungkin sedikit terjejas kerana cuaca maka anda digalakkan untuk memakai pakaian yang bersesuaian. Elakkan fabric yang mudah menyerapa air dan berat apabila telah menyerap air. Penggunaan kasut juga amat penting untuk membantu pergerakan anda yang sedia terbatas supaya risiko kemalangan boleh dielakkan.

Akhir sekali dan paling penting pastikan perjalanan anda memancing diketahui oleh keluarga supaya mereka sentiasa berwaspada tentang keberadaan anda pada musim monsun. Adalah lebih baik untuk mempertimbangkan nasihat ahli keluarga atau rakan terdekat sebelum memulakan perjalanan anda kerana malang itu tidak berbau dan kita tidak tahu tentang apa-apa kejadian yang mungkin boleh menimpa kita sewaktu memancing. Pastikan juga anda bergerak secara berkumpulan dan bukannya berseorangan ketika memancing pada musim ini.