Kawasan jeram merupakan kawasan yang mempunyai air terjun di sungai. Lokasi ini dikatakan sedikit mencabar kerana kaki pancing perlu menyesuaikan diri dengan keadaan aliran air sungai yang mungkin sahaja deras. Oleh itu terdapat beberapa tips yang boleh dijadikan langkah keselamatan ketika memancing di kawasan tersebut.
Sebelum kita mendalami tips yang akan diutarakan, adalah molek sekiranya anda mengetahui serba sedikit tentang aktiviti memancing di kawasan jeram. Kawasan ini dikatakan sangat seronok untuk melakukan aktiviti casting iaitu teknik yang memerlukan seseorang menggunakan gewang untuk mengumpan ikan. Aktiviti casting di jeram memerlukan fokus dan persiapan kaki pancing untuk mengurangkan risiko kemalangan atau kecederaan.
Pertama sekali sebagai persiapan awal, anda perlulah menitikiberatkan soal pemakaian sebagai salah satu aspek keselamatan. Gunakan kasut yang mempunyai tapak yang mencengkam dengan baik kawasan batu-batuan di sekitar sungai. Pemakaian jeans adalah tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan langkah kita menjadi berat apabila menyerap air. Atas alasan yang sama juga, pemakaian fabrik pakaian terutamanya yang menyerap air perlu dielakkan sama sekali. Ketika berada di kawasan jeram juga, adalah sangat perlu untuk anda memakai jaket keselamatan untuk membantu anda terhindar daripada kemalangan seperti lemas dan sebagainya jika terjatuh ke dalam kawasan air.
Selain itu, ada baiknya sekiranya aktiviti anda dilakukan secara berkumpulan dan bukannya secara berasingan. Sekurang-kurangnya bawalah seorang dua teman untuk memancing di kawasan ini supaya sekiranya terjadi sesuatu rakan inilah yang akan membantu anda. Anda juga perlulah memeriksa sekiranya terdapat kejadian kepala air di kawasan jeram dan melihat dengan teliti kedalaman dan aliran arus air serta struktur tanah atau batu terlebih dahulu. Hal ini dapat mengurangkan risiko lemas, jerlus dan tergelincir.
Akhir sekali, dari segi peralatan anda digalakkan sentiasa bersedia dengan alatan tajam seperti pisau untuk mempertahankan diri. Anda juga perlu memastikan diri anda membawa beg kalis air untuk menyimpan barang-barang penting dan sentiasa memastikan keadaannya berada dalam keadaan memerangkap udara kerana keadaan sedemikian boleh membantu anda sekiranya memerlukan pelampung kecemasan.