Waktu Aktif Ikan Haruan

Ikan Haruan sering dicadangkan pengambilannya dalam pemakanan apabila melibatkan ibu-ibu yang baru bersalin terutamanya secara Czer. Tetapi secara umumnya ikan ini sangat sinonim sebagai makanan yang ‘wajib’ dalam proses penyembuhan luka. Nilainya yang tinggi sering menjadi salah satu punca ikan ini menjadi buruan para pemancing.

Channa striata yang merupakan nama saintifik Haruan dikatakan spesis ikan yang mudah diperolehi tidak kira sama ada di di kawasan parit, tasik, tali air, sawah dan paya. Singkatnya ikan ini boleh ditemui hampir dimana-mana dalam negara kita. Namun keadaan ini bukan tiket yang menjadi jaminan untuk menjerat ikan ini sebagai salah satu hasil tangkapan anda.

Selain tips dari segi peralatan dan faktor lain, paling penting sebenarya adalah untuk mengenali waktu yang menjadi penanda aras keaktifan ikan ini. Sinar matahari dikatakan musuh utama Ikan haruan disebabkan oleh kedudukan matanya yang hampir menghala ke atas. Impaknya haruan tidak selesa jika cahaya matahari memancar secara terus ke dalam matanya. Oleh itu adalah wajar sekiranya kita simpulkan ikan ini akan menjauhi waktu matahari terik untuk menjelajah kawasannya contohnya pada waktu tengah hari kerana ikan ini akan menyorok di kawasan yang teduh.

Tips berguna yang boleh anda guna pakai untuk memancing haruan ialah waktu terbaik untuk memburu ikan haruan adalah waktu yang redup, iaitu sejam sebelum dan selepas matahari timbul serta ketika matahari terbenam. Jika anda selesa untuk memancing malam, ikan haruan juga boleh diburu pada waktu malam kerana ikan ini adalah spesis nocturnal iaitu haiwan aktif pada waktu malam.