Khasiat Ikan Haraun

Ikan haruan ialah sejenis ikan pemangsa (karnivor) yang memakan haiwan lain seperti anak-anak ikan, katak, serangga dan sebagainya. Ikan ini merupakan sejenis ikan air tawar atau spesis ikan yang suka menyendiri kerana haruan sering memilih kawasan habitat berpaya, parit atau sawah padi sebagai perumah. Nilai ikan ini mulai melonjak naik kerana popular bagi kaum Cina dahulu, dan kini ikan telah dikenalpasti amat sesuai digunakan khususnya dalam bidang perubatan. Terdapat banyak khasiat yang boleh diperolehi daripada ikan haruan.

Antaranya ikan haruan dikatakan membantu dalam proses penyembuhan luka tidak kiralah luka dalaman atau luaran kepada ibu bersalin apabila memakan pati ikan ini. Selain itu, kajian mendapati ikan haruan dalam bentuk cecair semburan pada luka dapat membantu penyembuhan luka dan dapat mengelakkan jangkitan bakteria pada luka tersebut. Bukan itu sahaja, asid lemak yang terkandung di dalam ikan haruan mampu menghalang rasa sakit dengan memodulasi kesakitan di dalam celah sinaps. Modulasi yang dilakukan mampu mengurangkan rasa kesakitan terutamanya untuk ibu-ibu yang bersalin secara caesarean.

Khasiat lain ikan ini ialah kandungan Arachidonic acid di dalam ikan haruan yang diambil sebagai makanan tambahan mampu digunakan sebagai langkah menghindarkan penyakit berkaitan jantung. Khasiat kelima pula ikan haruan mempunyai pengaruh pada sistem serotonin yang berfungsi sebagai hormon bahagia. Hal ini boleh diperoleh melalui pengambilan ekstrak kulit haruan.

Ikan haruan juga mempunyai sifat antiradang yang berfungsi untuk mengurangkan kesakitan khususnya pada otot dan sendi. Kehadiran DHA iaitu asid lemak dalam ikan haruan juga membantu masalah penyakit kulit dan menambah baik kulit. Selanjutnya, ekstrak ikan haruan yang dicampurkan bersama etanol boleh dijadikan ubat antikulat mampu melawan kulat seperti Aleurisma keratinophilum, Cordyceps militaris, Neurospora crassa, dan Botrytis pyramidal. Akhir sekali, ikan haruan juga mempunyai kandungan antioksidan dan merupakan sumber protein yang baik untuk manusia.