Termasuk dalam spesis keluarga ikan bermisai menjadikan ikan Mekong atau nama saintifiknya Pangasianodon gigas sebagai ikan yang berada dalam kelas genus Pangasianodon dan di dalam keluarga besar Pangasiidae. Ikan ini berasal dari Lembah Mekong di Vietnam dan kini saban hari jumlahnya diancam kepupusan yang membimbangkan.
Dari segi fizikalnya, ikan Mekong dibezakan daripada spesies ikan bermisai lain dengan hampir ketiadaan barbel (misai atau sesungut) dan ketiadaan gigi. Dari segi warna, ikan Mekong lazimnya berwarna putih kekelabuan. Jika dilihat dari tumbesarannya, ikan ini mampu membesar dengan panjang sehingga 3 meter dan boleh mencapai berat sehingga 350 kilogram. Tumbesaran Ikan gergasi Mekong ini sangat cepat, ia mampu mencapai berat 150 hingga 200 kilogram dalam tempoh enam tahun. Maka tidak hairanlah jika ikan ini kini direkodkan sebagai ikan air tawar terbesar di dunia di dalam Guinness World Book Of Record.
Ikan Mekong berkumpul semasa permulaan musim hujan dan bermigrasi ke hulu untuk membiak. Mereka hidup terutamanya di sistem utama sungai, yang mana kedalaman air adalah lebih dari 10 meter, sementara para peneliti, nelayan dan pegawai rasmi telah menemukan spesies ini di Sungai Tonle Sap dan Tasik di Kamboja, Cagar Biosfer UNESCO. Berikutan ancaman kepupusan, spesies ini tidak lagi mendiami sebahagian besar habitat asalnya. Kini dipercayai hanya wujud dalam populasi kecil dan terpencil di rantau Mekong tengah.