Pada tahun ini musim mencandat sotong bermula seawall bulan April 2023 lagi. Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat banyak bot atau tekong mula ‘full house.’ Penulis ‘berbesar hati’ menerima beberapa tips sebelum membuat keputusan untuk mencandat sotong. Antara tips tersebut adalah sebaiknya cari tekong yang memiliki kemudahan dan fasiliti bot yang baik. Lengkap dengan gps dan sonar bagi mengesan kumpulan atau kandang sotong. Penting bagi korang yang pertama kali nak mencandat, pastikan bot tersebut selesa dan memiliki tandas.
Sudah settle bab pengangkutan barulah kita teruskan dengan aktiviti mencandat sotong itu sendiri. Pemilihan candat amat penting dan contoh candat yang ada ialah candat Apollo udang. Penggunaan candat mayat atau candat Apollo yang pelbagai warna amat digalakkan. Tetapi anda perlu peka tentang reaksi sotong terhadap candat anda. Maksudnya cuba perhatikan sotong tersebut lebih suka candat yang mana, Konsepnya try and error. Jika candat mayat atau candat udang kurang disukai oleh sotong, cuba pula candat umpan yang menggunakan umpan ikan.
Cara mencandat sotong adalah mengunjun candat sehingga ke dasar laut. Batu ladung atau candat twist yang digunakan sebagai pemberat dibiarkan di dasar, hanya tali pancing dihenjut dengan cara mengendur dan menegangkannya. Apabila terasa sesuatu yang berat, tarik atau gulung tali secara sederhana. Apabila candat mengena sotong, jangan karau atau gulung tali dengan laju dan kasar. Jangan juga terlalu perlahan hingga sotong mampu meloloskan diri. Tarik secara bertenang dan apabila sotong muncul di permukaan air, biarkan ia memuntahkan dakwat sebelum mendaratkannya ke dalam bot.