KL Fishing Expo 2026 tarik peminat sukan memancing tempatan

Berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 Jun lalu, KLFE sekali lagi menghimpunkan komuniti pemancing dari seluruh negara dalam satu acara yang meraikan minat hobi memancing.

Penganjuran kali ini mendapat satu lonjakan dari segi kemasukan pempamer dan lebih meriah dengan kehadiran pengunjung yang luar biasa.

Penganjur meletakkan matlamat untuk mendapat lebih 20 ke 30 peratus kehadiran dari tahun lepas.

Data menunjukkan kehadiran memberangsangkan dengan lebih dari sekali ganda berbanding tahun lalu.

Tahun ini terdapat pelbagai jenama terkemuka dalam industri memancing mengambil bahagian, antaranya yang besar ialah TCE Tackle, OAG Worldwide dan Xzoga.

Tidak ketinggalan jenama tempatan seperti Rentaka, Ryoko, EXP, Ultimate serta banyak lagi yang turut memeriahkan ruang pameran sepanjang ekspo berlangsung. KLFE membawa peranan yang jauh lebih besar daripada pa­meran jualan semata-mata.

Acara ini menjadi medan pertemuan bagi pemancing dari seluruh negara untuk berkongsi pengalaman, bertukar pandangan dan mengikuti perkembangan terkini industri memancing tanah air. Dari kaki casting, jigging, bottom, eging, trolling sehinggalah kepada fly fishing, semuanya dapat dilihat berkumpul di bawah satu bumbung dengan minat sama.

Di sebalik kemeriahan yang berlangsung sepanjang dua hari tersebut, KLFE turut memperlihatkan betapa eratnya hubungan antara pemain industri dan komuniti pemancing.

Pengunjung bukan sahaja hadir untuk melihat produk baharu, malah ramai mengambil peluang bertemu secara bersemuka dengan wakil syarikat, pengasas jenama serta personaliti memancing yang selama ini hanya dikenali menerusi media sosial seperti TikTok.
Tulang belakang

Antara individu yang memainkan peranan besar dalam menjayakan acara itu ialah Jatt Harris, melalui platform KarauZone bersama Outdoor Expo selaku penganjur utama.

Dia dianggap sebagai antara tulang belakang yang menggerakkan KLFE 2026 sehingga berjaya berkembang menjadi antara festival memancing terbesar di Lembah Klang.

Dalam masa sama, beliau juga merupakan Naib Presiden Persatuan Pemancing SeMalaysia yang aktif memperjuangkan pembangunan komuniti pemancing negara.

Pengalaman luas dalam pengurusan acara memancing serta hubungan erat dengan pelbagai pemain industri membolehkan KLFE tampil dengan identitinya yang tersendiri.

Jadi, tidak hairanlah acara ini terus mendapat sokongan daripada penge­luar peralatan memancing, pengusaha bot, penganjur pertandingan serta komuniti pemancing dari seluruh negara.

Antara tarikan utama yang mencuri perhatian pengunjung adalah peluang melihat dan mencuba sendiri produk-produk terbaharu yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Bagi kaki pancing tegar, inilah masa terbaik untuk meneliti teknologi terkini pada joran, kekili, tali pancing, gewang dan pelbagai aksesori lain sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Tidak kurang juga yang sanggup datang awal pagi bagi merebut promosi khas yang ditawarkan oleh para pempamer.

Ada yang pulang dengan set lengkap jigging, ada yang menambah koleksi gewang, manakala sebahagian lagi sekadar mencuci mata sambil mendapatkan maklumat mengenai produk-produk terbaharu bakal berada di pasaran.

Produk tempatan

Dalam masa sama, penyertaan jenama tempatan membuktikan bahawa industri memancing negara semakin berkembang dan mampu bersaing dengan pengeluar antarabangsa.

Banyak produk keluaran tempatan yang dipamerkan menerima perhatian positif daripada pengunjung, khususnya dalam kategori gewang, pakaian memancing dan aksesori.

Selain pameran produk, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan sepanjang ekspo berlangsung. Sesi perkongsian ilmu, demonstrasi teknik memancing, cabutan bertuah dan pertandingan santai berjaya menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Apa yang menarik perhatian penulis adalah kepelbagaian latar belakang pengunjung yang hadir dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak, semata-mata untuk merasai sendiri pengalaman menghadiri KLFE.

Kehadiran mereka membuktikan bahawa acara ini semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti pemancing Malaysia.

Ramai juga yang hadir bersama keluarga. Kanak-kanak dilihat teruja melihat pelbagai genre pameran dan menyertai aktiviti yang disediakan, manakala golongan dewasa mengambil peluang berinteraksi dengan peman­cing berpengalaman serta mengenali perkembangan terkini industri memancing.

Fenomena ini menunjukkan bahawa dunia memancing telah berkembang menjadi satu budaya yang merentasi pelbagai lapisan ma­­syarakat. Sama ada pemancing rekreasi, pemancing sukan, pengusaha industri, mahupun pencipta kandungan media sosial, semuanya mempunyai ruang tersendiri dalam ekosistem semakin matang ini.

Melihat kepada sambutan yang diterima sepanjang dua hari penganjuran, KLFE sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai antara acara memancing paling penting dalam kalender pemancing tempatan.

TCE Tackles

TCE Tackles

Fishing Tackle, Rod, Reel & Adventure Equipment Retailer

I will be back soon

TCE Tackles
Hey there 👋
It’s your friend TCE Tackles. How can I help you?
WhatsApp