Tahukah anda bahawa haiwan termasuk ikan juga boleh mengalami pemyakit albino? Ya, sudah semestinya memandangkan ikan juga sejenis hidupan yang masih terdedah kepada kemungkinan kekurangan kandungan melanin. Melanin merupakan bahan penting dalam penghasilan warna kulit, mata dan rambut untuk hidupan di dunia ini. Kekurangan melanin yang dibawa oleh induk sesuatu spesis menyebabkan terjadinya albinisme atau albino bagi sesuatu spesis hidupan.
Bagi kaki pancing yang pernah ‘terserempak’ dengan hasil tangkapan ikan yang agak ganjil sedikit warnanya pasti perkara tersebut membuatkan anda tertanya-tanya sama ada hasil tersebut merupakan ikan albino ataupun tidak. Semestinya anda juga tertanya-tanya cara untuk mengidentifikasi spesis ikan albino sama ada melalui warna kulitnya kah atau ciri lain. Paling penting harus diingatkan kepada para pembaca bahawa sebenarnya bukan semua ikan yang berwarna putih atau pucat boleh dikategorikan sebagai ikan albino.
Cara terbaik untuk mengenal pasti ikan albino adalah melalui warna matanya. Kekurangan melanin akan menyebabkan pembuluh darah mata menjadi terlihat sehingga menyebabkan warna spesis ikan albino berwarna merah muda atau merah. Selain itu, ikan albino juga cenderung untuk mempunyai kuku, kulit dan sisik yang berwarna kemerahan.