Keindahan panorama laut yang digambarkan melalui hamparan air laut dan pukulan ombak disertai hembusan bayu merupakan momen yang sering dihayati oleh setiap individu apalagi bagi mereka yang bergelar kaki pancing. Aktiviti memancing dikatakan memerlukan kesabaran dan focus yang tinggi dan maka dengan itu satu suasana yang tenang mampu menyumbang kepada kejayaan menewaskan mana-mana ‘gergasi’ laut. Memancing juga bukan sekadar hobi tetapi terapi buat individu yang mencintai aktiviti ini.
Walaubagaimanapun, apabila melibatkan aktiviti memancing yang dilakukan di kawasan sekitar pinggir laut suasana mungkin tidak menjadi indah apabila kita tidak berjaga-jaga apalagi sekiranya kawasan pinggir laut tersebut berombak. Lantas dengan itu, kita perlu mengamalkan beberapa langkah keselamatan semasa memancing di pinggiran laut.
Paling penting ialah kita hendaklah faham dan menguasai kawasan yang dipilih sebagai lubuk memancing iaitu sebaik-baiknya menghindari tempat yang biasa dibadai ombak tinggi. Selain itu, untuk mengelakkan risiko yang lebih besar adalah lebih baik sekiranya pemancing merupakan seorang yang pandai berenang kerana kita hendak bermain dengan kawasan air yang luas. Alatan keselamatan seperti jaket keselamatan perlulah dititikberatkan penggunaannya.
Seterusnya, keadaan cuaca juga perlu dititikberatkan dengan sentiasa peka terhadap ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia. Jangan sesekali mengambil risiko sekiranya terdapat amaran angin kencang. Perlu diingatkan juga untuk tidak memancing sendirian dan sebaliknya mengajak kawan untuk memancing bersama.