Bagi kaki pancing dalam kategori pemula terdapat 3 konsep yang perlu difahami ketika baru mula berguru tentang teknik jigging iaitu teknik jigging itu sendiri, jig dan jigger. Jigging ialah teknik mengunjun umpan tiruan berbentuk kepingan besi, jig pula ialah umpan tiruan yang digunakan dalam teknik jigging manakal jigger pula merujuk kepada pemancing yang menggunkan teknik jigging. Demam teknik jigging amat popular di negara Jepun dan mula menular di Malaysia sekitar 10 tahun lalu.
Terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam mempelajari teknik jigging ini terutamanya dari segi peralatan dan jenis teknik jigging itu sendiri. Dari segi teknik jigging, umumnya terdapat dua jenis teknik iaitu light jigging dan heavy jigging. Perbezaan bagi kedua jenis jigging ini adalah dari segi berat jig yang digunakan yang mana light jigging selalunya menggunakan umpan tiruan di antara 40-80 gram manakala bagi heavy jigging pula umpan tersebut berada dalam sekitar berat 100-1000 gram.
Penggunaan joran atau rod yang kuat dan ringan diperlukan untuk kedua-dua teknik ini. Fungsi kekili juga dapat dibezakan apabila menggunakan dua jenis teknik ini kerana kekili yang lebih kuat digunakan untuk teknik heavy jigging berbanding teknik light jigging. Penggunaan tali sulam (braided) amat digalakkan bagi kedua-dua teknik ini kerana jenis tali ini mempunyai diameter kecil tetapi berkekuatan tinggi. Faktor lain yang boleh dititikberatkan adalah melalui pemilihan mata kail yang sesuai dengan saiz jig, perambut, split ring dan kili yang sesuai dengan lokasi dan kedalaman.