Kebaikan Memancing

Aktiviti memancing sering dilakukan tanpa mengira lubuk sama ada di sungai ataupun di laut. Di mana sahaja kawasan yang boleh menjadi potensi untuk kita mendapatkan ikan maka di situlah tempat kita menghayunkan joran. Terdapat banyak kebaikan yang boleh diperolehi daripada aktiviti ini.

Kebaikan pertama yang dikatakan paling sinonim dengan aktiviti ini semestinya kita dapat menuai hasil melalui tangkapan ikan. Tidak kiralah sama ada ikan tersebut menjadi santapan keluarga ataupun dijual semula kepada orang awam. Boleh dikatakan rezeki ikan yang kita peroleh boleh dikongsi bersama keluarga ataupun rakan. Lebih beruntung kerana kita juga boleh mencuba pelbagai rasa jenis ikan yang berbeza.

Aktiviti ini juga boleh meluaskan kenalan kita. Ikatan silaturahim yang terhasil melalui memancing boleh diperolehi melalui kenalan-kenalan kaki pancing yang mempunyai minat yang sama dengan kita. Hubungan itu, bukan sahaja akan terhad kepada bidang memancing, tetapi selalunya akan berkembang lebih luas daripada itu. Contoh yang dapat kita lihat, kaki pancing mungkin saja golongan professional yang gemar meluangkan masa untuk memancing.

Seorang kaki pancing juga dikatakan dapat melatih nilai kesabaran dan kesungguhan yang tinggi dalam diri mereka. Hal ini dapat kita lihat apabila pemancing mula beraksi selalunya masa yang diambil sangat lama untuk umpan mula direntap oleh ikan. Ada yang sejam atau dua jam baru umpan dijentik oleh ikan malahan ada yang pulang dengan tangan kosong jika hari tidak memihak kepada pemancing. Hal ini menunjukkan masa yang dilabur boleh menguji kesabaran sekiranya pemancing tidak mempunyai kesungguhan yang besar untuk memperoleh hasil tangkapan.