Rod Ajiking Bakun

Pemilihan rod mempengaruhi ketahanan semasa menaikkan ikan ke permukaan air. Pencarian rod yang sesuai dikatakan sama penting dengan pencarian umpan yang sesuai untuk memancing. Kali ini kita akan melihat sejauh mana rod terbaru keluaran Ajiking yang dikenali sebagai Ajiking Bakun beraksi melalui penulisan ini.

Spesis ikan Jenahak mempunyai pola taburan dunia di sekitar kawasan barat Indo-Pasifik, Afrika-Timur hingga ke Fiji serta Selatan Australia manakala di kawasan perairan negara kita boleh ditemui di muara hingga laut lepas. Nama lain bagi ikan ini ialah John’s Snapper, Golden Snapper dan juga Fingermark Bream.

          Secara fizikal ikan ini bersisik kuning perak atau keemasan bergantung pada persekitaran. Ukurannya berada sekitar 50cm hinggalah 1meter dan beratnya pula mampu mencapai sehingga 10kg. Diet utamanya pula terdiri daripada ikan bertulang, ikan pelagik, udang, sotong dan ketam menjadikannya jenis ikan karnivor.

          Melalui pengamatan penulis semasa berjaya menaikkan ikan Jenahak ini, dapat saya perhatikan karakternya sebagai spesis ikan pemangsa yang agresif dan licik. Kesulitan untuk menundukkan ikan ini tidak dapat digambarkan perjuangannya. Selalunya para pemancing kerap menggembar-gemburkan tempoh pertarungan dipecahkan kepada dua sesi iaitu sesi menghauskan stamina pemancing dan juga sesi menguji ketahanan tali pancing yang digunakan kerana pada sesi kedua inilah sudut pertahanan ikan Jenahak akan semakin mencabar buat kaki pancing.

          Terdapat dua teknik sinonim dengan ikan ini. Teknik pertama ialah teknik pancingan dasar dengan menggunakan umpan hidup ataupun umpan mati manakala teknik kedua pula ialah menggunakan teknik jigging yang memerlukan umpan tiruan. Pada akhirnya, dengan penggunaan teknik yang sesuai, ikan ini akan dapat ditewaskan juga.