Pada artikel sebelum ini, penulis telah berkongsi dua artikel tentang pengenalan Peacock Bass dan juga produk TCE yang sesuai untuk digunakan semasa memancing ikan ini. Pada entri kali ini penulis ingin berkongsi tentang tips yang anda boleh aplikasikan semasa menaikkan ikan ini.
Peacock Bass terkenal sebagai ikan yang sering dikalahkan kaki pancing melalui kaedah casting. Bagi anda yang baru mula berjinak dalam dunia casting, secara ringkasnya casting ialah teknik tindakan melontar dan mengarau umpan berulang kali. Bagi menundukkan peacock bass, teknik casting menggunakan umpan tiruan atau gewang amat digalakkan untuk digunakan.
Setelah memilih gewang, langkah seterusnya anda perlu menentukan jenis gewang yang digunakan. Kebanyakan kaki pancing sependapat mengatakan bahawa gewang permukaan merupakan gewang yang efektif untuk menundukkan ikan ini. Gewang permukaan atau ‘Top water /surface lure’ merupakan gewang yang bergerak di atas permukaan air. Tujuan gewang ini adalah untuk menyerupai ikan atau binatang yang berenang di atas permukaan air.
Sesudah menentukan gewang, anda perlulah membezakan dan memilih teknik gewang permukaan yang sesuai semasa mencabar peacock bass untuk beraksi. Antara teknik gewang permukaan yang terkenal ialah karauan lurus, dog walk, head shake, popping dan kaedah stop & go. Kesemua teknik gewang permukaan sesuai untuk menguji reaksi peacock bass yang terkenal sebagai spesis pemangsa yang ganas, maka teknik gewang permukaan adalah teknik paling sesuai untuk ikan ini.