Ikan Sebarau Borneo

Anda pastinya selalu mendengar spesis Sebarau ataupun Hampala Macrolepidota yang biasanya menghuni perairan Semenanjung Malaysia. Sebenarnya terdapat satu lagi spesis Sebarau yang terkenal mendiami perairan Borneo iaitu spesis Ikan Sebarau Borneo yang juga dikenali sebagai Hampala Bimaculata. Ikan ini juga dikenali dengan nama lain seperti sebarau dua belang, dungan, arungan dan barb hampala,

          Secara fizikalnya ikan ini berwarna emas dan mempunyai dua barisan tompok menegak pada sisi badannya. Seterusnya kedudukan dua belang hitam ikan ini terletak di bawah sirip dorsal dan satu pada caudal peduncle iaitu sudut bahagian yang menyambung badan dan ekor ikan. Perbezaan yang dapat dikenal pasti oleh kaki pancing apabila memancing Seberau biasa dan Sebarau Borneo ialah dari segi penampilan fizikal Sebarau Borneo yang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang. Bukan itu sahaja, ikan ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi kelebihan badan yang lebih aerodinamik melawan arus dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor.

          Dari segi taburan tempatan, ikan ini seperti namanya lebih banyak diperolehi di kawasan Borneo iaitu Sabah dan Sarawak serta perairan Indonesia. Namun ada juga sesetengah pemancing mengatakan bahawa mereka pernah terjumpa ikan ini di kawasan Semenanjung tapi jumlahnya mungkin agak kecil. Selain itu, ikan ini lebih mudah ditemui terutamanya di sungai pengunungan atau sungai yang bebas dari sumber pencemaran kerana ikan ini mempunyai sifat mementingkan kualiti.