Ikan Pelian

Ikan Pelian merupakan spesis ikan kelah di Sabah yang juga sinonim dengan nama Tor Duoronensis. Ikan ini mempunyai taburan di sekitar kawasan Borneo iaitu negeri Sabah dan Sarawak.

Jika dilihat dari segi fizikal ikan pelian seperti spesis ikan yang lain ialah ikan yang lasak dan lincah berenang kerana hidup di celah-celah batu yang mempunyai air yang laju. Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping. Ikan ini mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai sisik yang besar dan cantik.      

Ikan pelian juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor). Perbezaan ikan kelah dengan ikan lain ialah ia mempunyai lebihan daging di bawah dagunya. Selain itu, ikan  ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram (kg) dan dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar.Pelian juga lebih cepat membesar berbanding ikan kelah tor tambroides.

Ikan pelian betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai. Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekaligus. Umpan yang popular untuk menjerat ikan pelian ini ialah umpan biji kepala sawit dan juga buah Ara.