Tips Memancing Ikan Pelian Menggunakan Umpan

Ikan Pelian merupakan salah satu spesis di bawah keluarga ikan kelah bersama-sama spesis ikan kelah Tor Tambra dan ikan kelah Tor Tambroides.

Buah kelapa sawit menjadi pilihan pelian sebagai dietnya ialah kelapa sawit yang masak tua atau diperam sehingga lembut terlebih dahulu. Kelapa sawit boleh digunakan dengan mencangkukkan buahnya (dengan biji atau tanpa biji) pada mata kail atau dihiris-dihiris.

Selain kelapa sawit, cacing tanah juga merupakan umpan universal untuk memancing hampir kesemua ikan sungai. Begitu juga jika ingin memancing pelian. Cara menggunakan cacing ini pun mudah. Cangkukkan saja seberapa banyak yang mampu pada kail. Cacing tanah yang paling sesuai untuk digunakan ialah cacing tanah yang digali dari tanah kawasan lubuk atau cacing tanah yang digali sendiri di mana-mana lokasi asalkan bukannya cacing yang diternak untuk tujuan komersial.

Ikan pelian juga dikenali sebagai spesis ikan yang sangat suka kepada pelbagai jenis buah-buahan hutan seperti buah neram, buah maris, buah ara, dan buah perah. Untuk menggunakan buah-buahan ini perlulah mengikut musimnya. Caranya,  buah ini boleh dipotong dadu atau kecil kecil begitu sahaja. Ada juga yang memeramnya, tapi jangan terlalu lama kerana akan menjadi terlalu lembik.

Disebabkan ikan Pelian merupakan spesis haiwan omnivor, peratusan untuk mendaratkannya dengan menggunakan anak ikan dan udang mungkin lebih rendah berbanding menggunakan buah-buahan. Malah penggunaannya lebih berkesan jika memancing pada malam hari. Berdasarkan pengalaman pemancing, ada diantaranya berjaya mendaratkan kelah mencecah berat 6kg dengan menggunakan umpan anak ikan.