Joran Kecil Ikan Kecil

Bagi individu yang baru mula berjinak-jinak dalam dunia memancing, selalunya kecenderungan untuk mendapatkan ikan kecil sebagai imbalan pancingan adalah lebih tinggi berbanding ikan besar. Kadang kala ada pemula yang perlu mengambil masa untuk menundukkan ikan kecil sebagai koleksi awal mereka. Apa yang dimaksudkan dengan ikan kecil boleh dibahagikan kepada dua iaitu ikan yang asalnya memang dari spesis yang bersaiz kecil dan yang satu lagi merujuk kepada spesis ‘muda’ ikan besar.

          Secara logiknya konsep joran kecil untuk ikan kecil amat sesuai dipraktikkan oleh para pemancing baru apabila mula memasuki fasa pertama memancing. Agak mustahil jugakan kalau kita hendak memancing ikan kecil tetapi menggunakan joran besar, jelas benar ketidakseimbangan konsep di situ. Pemilihan joran kecil untuk ikan kecil adalah disebabkan kekuatan tenaga ikan itu sendiri tidak memerlukan ‘pertarungan’ yang hebat. Alasan kedua berat ikan yang ringan juga menjadi sebab utama konsep joran kecil untuk ikan kecil.

          Konsep joran kecil untuk ikan kecil lazimnya sesuai digunakan bersama konsep tangkap dan lepas. Konsep ini memerlukan pemancing menangkap dan selepas itu melepaskan semula ikan yang ditangkap kembali ke kawasan air. Para otai selalunya akan melepaskan ikan kecil selepas ditangkap untuk memberi peluang kepada ikan kecil tersebut untuk membesar dengan baik. Disebabkan penggunaan joran yang kecil kesan ketara dapat dilihat dari segi pemilihan alatan ‘sokongan’ lain seperti penggunaan mata kail yang kecil dan perambut yang ringan semasa memancing ikan kecil.