Kategori Candat Sotong

Candat merupakan sejenis barang untuk memperdayakan sotong. Candat ini umpama seperti gewang-gewang atau ikan tiruan. Dalam bahasa ringkas, candat ini juga dipanggil sebagai squid jig yang terdapat dalam pasaran. Candat atau squid jig ini direka khas untuk memancing sotong atau mabang. Antara kategori candat sotong yang terdapat dalam pasaran adalah candat mayat, candat umpan, candat udang, candat ikan, candat twist/candat pemberat.

Candat Mayat
Candat mayat merupakan candat yang agak popular di kawasan pantai timur. Candat mayat mempunyai sifat yang berbentuk lurus dan berkembang di bahagian tengah seperti badan kristal. Penggunaan kail fabrik yang nipis dan kilau untuk membalut akan menarik perhatian sotong untuk menangkap. Mempunyai dua sisir mata kail. Candat mayat ini akan melakukan aksi lambaian ketika berada dalam air.

Candat Udang/Ikan dengan pemberat
Kebiasaan candat udang atau candat ikan ikan yang mempunyai sedikit pemberat di bahagian badan terutamanya bahagian kepala sesuai untuk menangkap sotong mabang di tepi pantai. Dengan adanya pemberat di bahagian kepala candat, maka akan menghasilkan aksi naik turun naik turun di bahagian bawah candat. Candat ini akan kelihatan seperti lambaian dan akan menarik perhatian mabang atau sotong.

Candat Udang/Ikan Tanpa Pemberat
Candat udang/ikan atau turut dikenali sebagai candat buntal lebih merupakan candat yang direkabentuk seperti ikan atau udang. Ia mempunyai ciri-ciri ringan dan tiada pemberat. Badannya pula agak gemuk dan gempal. Berikutan keberkesanannya bergantung kepada kualiti penghasilannya, ia kurang popular dan tidak banyak digunakan. Namun candat mayat yang berkualiti mampu mengatasi keberkesanan candat-candat lain. Candat tersebut akan menghasilkan aksi lambaian yang sangat cantik berbanding candat yang mempunyai pemberat.

Candat Umpan
Candat umpan lebih merupakan alat yang diperbuat daripada besi atau dawai keras sebesar lidi kira-kira sejengkal dan bersisir dengan mata kail dibawahnya. Sepadan dengan nama candat umpan, ia perlu dicucuk dengan ikan sebagai umpan untuk menarik perhatian sotong. Dan penggunaan pemberat diperlukan bagi mempercepatkan proses ia tenggelam ke dasar laut.

Candat Twist
Candat twist lazimnya berfungsi sebagai pemberat. Ia diperbuat daripada timah (ada juga yang mengubahsuai batu ladung), dan badannya dibalut dengan kain atau tali sulam yang berkilat terang atau mampu memantulkan cahaya. Ia turut dilengkapkan dengan mata kail candat yang berfungsi sebagai penyangkut sotong. Selain berfungsi sebagai pemberat, ia turut sama berupaya untuk memerangkap sotong dan tersangkut pada mata kailnya.