Udang Galah

Spesis udang galah atau nama saintifiknya Macrobrachium Rosenbergii merupakan salah satu makanan kegemaran yang sering dijadikan hidangan dalam menu harian masyarakat kita. Secara fizikalnya, udang galah mempunyai warna kebiru-biruan, kehijauan ataupun kelabu dan memiliki 5 pasang kaki renang. Uniknya haiwan ini boleh hidup di air tawar tetapi perlu turun ke air payau untuk proses pembiakan disebabkan larva udang hanya boleh bertahan di dalam air payau.

Dari segi pemakanan pula, udang galah merupakan haiwan omnivor iaitu haiwan pemakan daging dan juga tumbuhan. Antara makanan udang galah ialah tumbuhan akuatik dan pelbagai jenis daging seperti cacing yang sering dijadikan umpan untuk mendapatkan udang galah.

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa udang galah memiliki populariti dan berada dalam kelas yang tersendiri. Hal ini dapat kita lihat sendiri dari segi harganya yang bermula dari RM45-65 bagi setiap satu kilogram. Maka bukan suatu benda baharu lagi buat kita untuk melihat spesis ini sering menjadi kegemaran orang kenamaan dalam menu majlis mereka.