Joran yang Sesuai Digunakan untuk Memancing Ikan Kerapu Hibrid

Topik pada kali ini berkaitan dengan pemilihan joran yang sesuai untuk memancing ikan Kerapu hibrid. Sebelum kita pergi lebih mendalam untuk tajuk ini, amatlah elok untuk kita mengenal terlebih dahulu sifat-sifat ikan ini bagi memudahkan anda memahami dengan lebih jelas kaitan di antara penggunaan joran dan juga sifat ikan itu sendiri.

Ikan ini sering dianggap sebagai ikan pemangsa yang kelihatan bersifat pemalas mungkin disebabkan cirinya yang diumpamakan sebagai berat perut dan bergerak agak sedikit pasif. Namun selalunya tanggapan awal ini agak sedikit meleset kerana Kerapu hybrid gemar menyambar mangsanya dengan rakus, kasar dan mengejut. Hal ini mungkin disebabkan ikan ini mempunyai tenaga yang agak luar biasa untuk menyerang dan membunuh dengan begitu cepat dan singkat. Walau bagaimanapun, daya tahannya sewaktu menentang joran tidak lama kerana ikan ini pada akhirnya tersungkur juga.

Setelah menilai karakter dan sifat kerapu, kaki pancing penggemar ikan ini haruslah menggunakan joran yang terdiri daripada jenis yang kuat dan kasar. Hal ini untuk menjamin pertahanan dari asakan awal yang kasar dari kerapu. Keperluan asas yang lain seperti tali utama, mata kail dan perambut juga perlulah terdiri daripada jenis yang tahan, kuat dan kasar.

Dari segi saiz joran pula, ukuran joran yang bersaiz pendek amat sesuai digunakan kerana joran ini mampu membantu kita untuk bertindak pantas sehingga tidak akan  memberikan ruang terlalu banyak untuk ikan boleh berenang melepaskan diri bersama ‘habuannya’. Faktor lain yang berkait rapat dengan joran ialah pemilihan reel dengan kekuatan drag  yang lebih kuat perlulah juga dititikberatkan.