Siakap Merah

Ikan yang lebih dikenali sebagai Mangrove Jack atau Mangrove Red Snapper atau Siakap Merah merupakan sejenis ikan yang dikatakan berasal dari Lautan India dan kawasan barat Lautan Pasifik. Secara fizikalnya, ikan ini mempunyai gigi taring dan mempunyai tona warna merah, kecoklatan dan kadang kala ada yang bewarna kekuningan bergantung kepada kawasan dan juga warna air habitat ikan ini.

Siakap Merah lebih mudah didapati di kawasan yang mempunyai banyak pokok bakau, selalunya di kawasan muara. Namun sekiranya ikan ini perlu bertelur, ikan ini akan bergerak ke kawasan luar pantai. Dari segi pemakanan pula ikan ini ialah ikan pemangsa dalam kategori karnivor. Siakap Merah ini juga diketahui ramai sebagai ikan yang selalu melakukan serang hendap terhadap mangsanya.

Bagi pemancing yang ‘berniat’ untuk menundukkan ikan ini terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan. Pertama, anda digalakkan menggunakan umpan hidup seperti udang dan anak ikan dan sekiranya anda memilih untuk menggunakan umpan mati anda boleh menggunakan potongan ikan seperti potongan ikan selayang kerana seperti yang telah disebutkan sebelum ini ikan Siakap Merah ialah ikan pemakan daging (karnivor).

Perkara kedua adalah dari segi teknik yang digunakan iaitu teknik mengilat atau teknik trolling (menunda) menggunakan gewang kerana selalunya gewang yang diberikan oleh kaki pemancing untuk ikan ini akan mengena. Pemilihan gewang perlulah sekecil ikan yang sering menjadi buruan Siakap Merah. Teknik lain yang boleh dipertimbangkan ialah teknik jigging.

Aspek lain yang boleh dititikberatkan ialah pemilihan tempat untuk memburu Siakap Merah. Seperti yang telah dibincangkan di perenggan kedua, kawasan muara sungai yang berbakau dan kawasan luar pantai selalunya menjadi hotspot pemburu Siakap Merah kerana kawasan ini merupakan habitat ikan ini.