Waktu-waktu ikan mula “Frenzy” atau lapar

Frenzy ialah satu istilah yang sering digunakan oleh para pemancing untuk merujuk kepada keadaan di mana ikan sedang berada pada waktu lapar mereka. Sama seperti manusia ikan juga mempunyai rasa lapar yang perlu diisi dengan sajian makanannya untuk menghilangkan rasa tersebut. Waktu ‘frenzy’ ini dikatakan akan amat penting kerana bersangkut paut dengan waktu kaki pancing akan mula “memburu”.

Lazimnya manusia mempunyai sekurang-kurangnya tiga hidangan makanan utama dalam menu harian iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam. Bagi ikan pula selalunya waktu makan harian mereka lebih kepada waktu awal pagi iaitu sekitar jam 6-9 pagi ataupun petang yang bermula seawal jam 3 petang hingga 6 petang. Terdapat beberapa alasan di sebalik pernyataan ini.

Sebab utama waktu pagi dan petang menjadi pilihan ikan adalah kerana kekuatan cahaya matahari ini pada ketika ini lebih redup berbanding waktu-waktu lain. Pergerakan awan juga menjadi alasan ikan memilih dua waktu ini kerana kawasan yang ditutupi awan mampu membantu ikan untuk mencari makanan dengan lebih baik kerana tidak panas dan cahaya matahari juga tidak terik sehingga tidak mengganggu penglihatan ikan-ikan ini.

Jika dibandingkan ikan lebih memilih untuk mencari makan di waktu petang berbanding pagi. Hal ini mungkin disebabkan faktor bahawa matahari mulai terbenam dan tidak tinggi pada waktu petang. Tetapi terdapat juga ikan lebih cenderung untuk memburu pada waktu malam.

Dapatlah kita simpulkan mengetahui waktu makan ikan adalah penting untuk menentukan hasil tangkapan kaki pancing.