Ikan Tenggiri

Ikan Tenggiri merupakan salah satu contoh ikan yang berada di dalam keluarga Scombridae. Ikan Tenggiri atau ‘mesra’ dengan panggilan Spanish Mackerel lazimnya terkenal di kawasan permukaan perairan pantai dengan taburan yang banyak di laut tropika dan subtropika di seluruh dunia. Ciri-ciri utama ikan ini yang sinonim dengan gigi rahang yang besar dan tajam menjadi salah satu penyumbang kepada gaya pemakanannya sebagai ikan karnivor dengan menjadikan ikan kecil, krustasea dan sotong sebagai diet kebiasaannya.

            Terdapat beberapa teknik memancing yang boleh anda gunakan sekiranya ‘terjumpa’ ikan ini. Pertama adalah dengan menggunakan teknik menunda atau trawling yang memerlukan gewang, ikan hidup atau ikan mati. Teknik kedua yang boleh anda praktikkan adalah mengilat atau casting dengan menggunakan umpan ikan mati, gewang, sesudu dan bulu itik. Teknik lain yang boleh anda tonjolkan untuk memperoleh ikan ini adalah dengan teknik mengunjun atau jigging teknik menghanyut atau drifting umpan hidup.

            Seterusnya, kita bincangkan pula faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan dalam memperoleh ikan Tenggiri ini. Pertama ialah faktor air dan factor habitat yang mana ikan ini boleh dipancing ketika air pasang besar atau pasang kecil yang hanya berbeza dari segi lokasi perburuan. Lazimnya ketika arus laju ikan Tenggir lebih mudah didapati oleh pemancing di kawasan yang mempunyai dasar berstruktur.  Faktor lain ialah suhu air yang mana suhu ideal bagi ikan Tenggiri di negara kita ialah 30 darjah celcius. Oleh sebab itu amat penting untuk kita mengambil kira semua faktor yang berkaitan dengan usaha kita untuk ‘menumbangkan’ ikan Tenggiri ini apabila ‘bertarung’ dengannya.