Penggunaan Roti Sebagai Umpan

Tahukah anda bahawa roti yang kita makan boleh dijadikan umpan memancing? Untuk pencinta joran baru mungkin benda ini mengejutkan anda kerana tidak pernah menyangka tentang tips ini. Sebenarnya bergantung dengan selera ikan kita boleh menggunakan roti sebagai umpan tidak kiralah roti yang masih dalam bentuk empat segi ataupun serbuk roti.

Selalunya penggunaan roti digunakan oleh pemancing di kawasan kolam, tasik dan sungai. Ikan Patin, tidak kiralah yang di sungai atau kolam merupakan salah satu jenis ikan penggemar umpan roti. Antara tips penyediaan yang selalu digunakan kaki pancing apabila menggunakan umpan roti ialah penyediaan ‘inti’ di dalam roti itu sendiri. Bahan rahsia yang anda perlukan ialah paste perisa dan juga esen yang sering digunakan dalam masakan atau pembuatan kek dan roti.

Roti yang anda gunakan perlulah dipotong berbentuk dadu untuk dapatkan saiz roti yang lebih kecil. Setelah selesai bahagian  resepi ‘ inti’ umpan,  ambil roti dadu tersebut dan cangkukkan pada mata kail dan ditembuskan pada perambut kira-kira 3-5 kepingan. Manakala 2 kepingan lagi dicangkukkan pada mata kail. Apabila sudah roti dadu telah dicangkukkan pada kedua-dua perambut langkah seterusnya anda bolehlah genggam dan kepalkan roti tersebut. Terpulang pada anda untuk  campurkan paste perisa ataupun esen sebagai inti roti tersebut dan sangkutkan pada mata kail.

Sekiranya anda menggunakan serbuk roti bahan ‘inti’ yang anda perlukan ialah beberapa jenis perisa seperti perisa kelapa, soya dan buah tembikai susu (honeydew), kelapa parut keropok jagung dan 1kg serbuk roti. Anda hanya perlu mengikut sukatan dan mencampurkan kesemua bahan-bahan yang dinyatakan sehingga bahan campuran tersebut boleh dikepalkan dan disangkutkan pada mata kail.