Ikan Peacock

Pertembungan dengan ikan ‘peacock’ semasa memancing di Tasik Puchong Prima merupakan salah satu momen yang baik buat penulis. Ikan yang berasal dari kawasan Amerika Selatan ini terkenal dengan jolokan ikan Raja mungkin kerana kadar survivalnya yang tinggi.

          Pada mulanya ikan ini dibawa masuk ke negara kita sebagai ikan perhiasan di aquarium sahaja namun ikan ini sukar untuk dibesarkan dalam akuarium sehingga ikan ini dilepaskan di lombong atau tasik-tasik yang terdapat di negara kita. Ikan ini terdiri daripada 15 jenis namum lazimnya jenis yang popular di negara kita ialah spesis Cichla Monoculus dan Cichla Temensis. Uniknya dua spesis ikan peacock ini merupakan spesis terkecil (Cichla Monoculus) dan yang terbesar (Cichla Temensis) dalam keluarga spesis mereka.

          Ikan ini juga dijuluki sebagai spesis ikan yang rakus dan cepat membiak dan mungkin juga menjadi penyumbang kepada tahap survivalnya yang tinggi. Sifat agresifnya dikatakan sering mendominasi dan mengancam kedudukan spesis ikan lain. Hal ini menyumbang kepada keadaan kerosakan ekosistem bagi sesuatu hidupan laut dengan kehadirannya. Ikan karnivor ini menjadikan ikan lain sebagai mangsanya tanpa mengira saiz untuk dijadikan santapan. 

          Kebanyakan kaki pancing berpendapat bahawa teknik casting dengan menggunakan umpan tiruan merupakan teknik yang sesuai digunakan ketika memburu ikan peacock ini. Disebabkan sifatnya yang agresif anda mungkin tidak akan melewati setiap saat pertarungan anda dengan ikan ini. Ikan ini tanpa segan silu akan merembat umpan anda kerana sifatnya sebagai ikan pemusnah. Kalau ekosistem sahaja boleh peacock bass hentam inikan pula umpan anda yang sememangnya bukan umpan hidup tu.