Pengalaman Memancing Di Pinggiran Laut Kota Kinabalu

Kawasan pinggiran laut selalunya menjadi destinasi kaki pancing tegar yang ingin mencari koleksi baharu ikan mereka. Penulis berkesempatan untuk menjelajah kawasan pinggiran laut di Kota Kinabalu untuk melepaskan umpan dan mencabar keberadaan ikan yang terdapat di kawasan tersebut.

Persiapan dimulakan dengan kesemua ahli kaki pancing berkumpul di jeti Sutera Harbour Resort pada sekitar jam 0500 am. Kali ini kami berkesempatan untuk menempah sebuah kapal laut dengan kapasiti seramai 11 orang untuk ke lubuk ikan yang telah dipilih. Sewaan kapal ini boleh ditempah menggunakan pakej dan kami memilih pakej dengan harga RM120 bagi tempoh masa dari awal pagi sehinggalah petang. Sebaik sahaja semua ahli tiba kami bergerak menggunakan kapal terbabit sekitar jam 0530 am dan tiba di zon pertama sekitar setengah jam kemudian. Kapal ini dilengkapi dengan radar untuk mencari lubuk ikan di kawasan pinggiran laut. Oleh sebab itu, zon pertama kawasan yang dipilih adalah berdasarkan bacaan radar yang ditunjukkan.

Setibanya kami di zon pertama, kami mula membuka peralatan memancing kami sambil membincangkan teknik pancingan yang akan digunakan untuk menundukkan lawan sekiranya umpan diserang nanti. Semestinya kebanyakan ahli memilih untuk menggunakan teknik jigging yang lebih sesuai untuk pertarungan di kawasan laut.

          Umpan mula dilontarkan pada sekitar jam 0630 am dan beberapa ketika kemudian tetamu pertama mula merentap umpan yang telah saya sediakan. Pada rentapan pertama tetamu ini saya dapat mengagak bahawa spesis ini sudah semestinya ikan pemangsa dan ternyata sangkaan saya betul kerana umpan saya telah disambut oleh si Kerapu Merah. Kami beralih ke zon seterusnya dan jumlah ikan yang saya sendiri tangkap pada hari tersebut ialah 3 ekor termasuk kerapu merah tadi.