Spesis Rusty Job Fish

          Dalam entri kali ini penulis ingin berkongsi pengalaman bersama pembaca tentang spesis ikan yang dikenali sebagai Rusty Jobfish atau nama saintifiknya Aphareus rutilans. Penduduk tempatan memanggil ikan ini dengan nama ikan Kerisi Bali, Kerisi Basi, Kerisi Guntur Merah, Apcoi atau Asang Lumahan.

          Dari segi fizikal, ikan ini mempunyai badan yang memanjang dengan ekornya yang kelihatan seperti berbentuk bulan sabit. Ikan ini juga mempunyai sirip dorsal dan sirip dubur (‘anal fin’) juga memanjang dan ikan ini mempunyai mulut yang besar dengan rahang bawah yang agak menonjol. Warnanya pula berbeza-beza iaitu biru kekelabuan atau kemerahan.

          Ikan ini biasanya sangat aktif mencari makan saat menjelang pagi hingga antara jam 9 pagi, kemudian antara jam 3 petang hingga tenggelam matahari, jika malam hari biasanya spesis yang berukuran besar yang lebih aktif. Oleh kerana ikan ini hidup di kedalaman antara 50 meter atau lebih, penggunaan umpan dengan bau hanyir yang kuat adalah lebih efektif.

          Pengalaman penulis menundukkan spesis ikan pemangsa menyebabkan penulis menggunakan segala kemahiran untuk menangkap spesis pemangsa ini. Seperti biasa apabila bercerita tentang ikan jenis pemangsa maka secara semulajadinya spesis ikan tersebut ialah spesis agresif dan agak senang dipujuk mengunakan umpan palsu (jig). Oleh sebab itu, penggunaan kekili menegak atau overhead reel adalah amat disarankan agar lebih ringan saat menggulung tali dari kedalaman 50 meter. Boleh juga menggunakan kekili mendatar atau spinning reel namun pastikan yang mampu menampung kapasiti tali sekurang-kurangnya 200 meter.