Memancing Udang Di Sungai

Pengalaman memancing udang di sungai mungkin salah satu pengalaman yang lain daripada yang lain bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia ini. Bagi pemula lazimnya mereka mungkin akan memandang bahawa misi memancing udang merupakan satu perkara yang sulit untuk dilakukan apabila memikirkan hasil kecil yang ditangkap berbanding ikan. Namun, sebenarnya terdapat satu kepuasaan yang boleh dirasai sekiranya anda sudah mula jatuh cinta terhadap aktiviti ini.

          Penulis sendiri berpeluang untuk melakukan aktiviti ini bersama ahli keluarga yang lain. Salah satu hidupan sungai yang kerap menjadi buruan ialah udang galah atau lebih sinonim dengan gelaran si sepit biru dalam kalangan pemancing dan nelayan sungai. Dari pengalaman penulis sendiri bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk memancing udang kerana perbezaan dari segi teknik pancingan dengan pancingan ikan. Lagi pula seperti yang dikatakan tadi saiz udang yang kecil pastinya membuat anda tidak puas hati malahan semakin terjebak untuk tinggal di lubuk pancingan lebih lama.

          Tips yang sering dikongsikan semasa memancing udang semestinya dari segi penggunaan joran dengan panjang 4-6 kaki dan kekuatan 2-8lbs. Pancing sepanjang ini amat sesuai sekali memancing menggunakan bot atau sampan. Selain itu, anda juga memerlukan tali utama berukuran 10-15 lbs dan tali tangsi berukuran 5 – 10 lbs sebagai perambut mata. Dari segi penggunaan umpan pula, gunakan umpan cacing tanah (cacing lembik / merah), anak udang bendang, umpun-umpun dan hati ayam yang dihiris kecil untuk memancing udang di sungai tersebut.