Adat Memancing Di Sungai Yang Ditagal

Sistem Tagal yang sinonim dengan kehidupan kaum Kadazan Dusun merupakan satu sistem larangan menangkap ikan di dalam sungai yang telah diwartakan sebagai kawasan Tagal kecuali dengan persetujuan komuniti setempat. Kesan pelaksanaan sistem ini adalah dapat memelihara ekosistem di dalam kawasan sungai terpilih yang telah ditagal. Sistem ini diselaraskan oleh Jabatan Perikanan Sabah dengan tujuan utamanya untuk mengatasi masalah kekurangan sumber ikan dan mengelakkan pencemaran sungai selain menjana pendapatan masyarakat.

          Bagi kaki pancing sudah semestinya tangkapan ikan di sungai tagal ingin dijadikan koleksi mereka kerana ikan di sungai yang ditagal sangat jinak dan tidak takut kepada orang. Terdapat beberapa adat atau aturan yang perlu anda ketahui sebelum memancing di kawasan sungai tagal. Seperti yang telah dikatakan tadi, larangan menangkap ikan adalah terpakai bagi mereka yang tidak mendapat persetujuan komuniti setempat. Kedua, anda juga perlu mengetahui kawasan tagal yang boleh dijadikan lubuk kerana terdapat kawasan sungai yang ditagal dan dibahagikan mengikut zon. Zon tersebut boleh meliputi kawasan sungai yang boleh dipancing, kawasan boleh memancing tetapi mengikut zon waktu yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa tagal dan kawasan larangan iaitu zon larangan memancing.

          Paling penting anda perlu ambil kira ialah anda harus melepaskan semula ikan yang telah anda tangkap ke dalam sungai tagal tersebut. Perlu diingatkan juga bahawa pelaksanaan sistem ini sangat ketat kerana anda akan didenda sekiranya anda tersilap langkah dalam memilih kawasan sungai tagal. Denda ini dikenali sebagai sogit dan mungkin berbeza bagi setiap kawasan.