Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang

Pada tarikh 5 September 2022, Pro Fishing Team telah tiba di Bagan Ajam Butterworth, Pulau Pinang. Kali ini, Pro Fishing Team terdiri daripada Mr. Leng, Mr Charles, Mr Yong dan Mr Johnny. Kami tiba di Jetty Bagan Ajam sekitar pukul 8.00 pagi. Sebelum kami ke jeti, kami sempat bersarapan di pasar Bagan Ajam. Sebelum sehari memancing, cuaca hujan lebat pada waktu pagi dan berangin, kami sangat risau akan trip kali ini berkemungkinan akan dibatalkan akibat cuaca yang teruk, tetapi nasib baik masih menyebelahi kami.

Kami sempat bergambar di jeti Bagan Ajam sebelum naik bot ke perairan Bagan Ajam. Masing-masing menyediakan 2 set untuk memancing di perairan Bagan Ajam. Mr Leng menggunakan set Ajiking reel rome light game bersaiz 150L, Ajiking rod atom 632mlc, mata kail fire eagle DX 410 size 16, tali tomman line sky wire 20lb dan leader 40lb shinju. Mr Leng telah melakukan strike pertama dengan mendaratkan ikan senangin yang bersaiz hampir 1.5kg. Selepas itu, cubaan kali kedua untuk mendaratkan ikan jenahak yang bersaiz 2kg lebih itu memakan masa yang agak lama, tetapi akhirnya Mr Leng berjaya juga mendaratkan gergasi tersebut. Mr. Leng memilih kaedah bottom dengan menggunakan ranggom atau dikenali sebagai tanduk bagi memastikan tali perambut tidak bergulung semasa menurunkan perambut tersebut.

Manakala bagi Mr Charles pula, dia menyediakan set yang agak ringan iaitu ajiking black bull lit rod, reel okuma ITX bersaiz 4000, tali shinju 919 30lb, leader shinju 40lb dan mata kail DX 410 saiz 16. Mr. Charles memilih kaedah t-knot two way untuk memancing ikan, kaedah ini sangat sesuai untuk bermain bottom dan kearangkali dapat ikan agak tinggi berbanding ikatan lain. Tetapi setiap ikatan mempunyai ciri-ciri tersendirinya. Mr. Charles berjaya mendaratkan ikan senangin dan ikan jenahak juga. Gaya lawan dan aksi yang dipamerkan oleh Mr. Charles sangat hebat dan professional walaupun dalam keadaan laut yang bergelora.

Kesimpulannya, Pro Fishing Team telah berjaya mendaratkan 17 ekor ikan senangin, dan beberapa ikan kerapu dan ikan jenahak. Tekong sendiri seakan-akan tidak pernah merasai pesta ikan senangin ini pada luar musimnya. Kami juga sempat berterima kasih kepada tekong dan anak buah yang bertungkus-lumus mencari kawasan ikan kepada kami.