Pengalaman Memancing Di Kolam Hulu Langat

Satu kegembiraan buat kaki pancing apabila dapat melancong bersama keluarga sambil memancing. Itulah perasaan yang dapat digambarkan apabila anda berkunjung ke Hulu Langat Fishing Resort. Ibarat sambil menyelam minum airlah katakan. Tempat ini bukan sahaja menawarkan bilik penginapan buat keluarga anda tetapi di luar bilik tersebut anda disajikan dengan sebuah kolam ikan untuk aktiviti memancing. Namun perlu diingat ikan yang dipancing perlu dilepaskan semula bagi menjaga ekosistem kolam tersebut.

Harga bagi sebuah bilik di resort ini semurah RM240 semalam. Anda boleh memancing sepanjang hari tidak kira pagi, petang mahupun sehingga larut malam. Anda hanya perlu membawa bekalan peralatan yang cukup untuk memancing. Bagi mereka yang tidak mempunyai peralatan memancing, pihak resort juga menyediakan perkhidmatan sewa alatan tersebut bagi anda yang ingin melepaskan gian memancing.

Jenis ikan yang boleh diperoleh di kolam ini ialah Siamese Carp, Redtail Fish dan juga Mekong. Mudah sahaja untuk ke lokasi yang terletak di perkampungan Batu 16 Dusun Tua Hulu Langat ini. Resort ini terletak kira-kira 1.5km dari jalan utama Hulu Langat dan perlu melalui jalan masuk Taman Desa Sentosa di Jalan Sentosa 6. Selepas itu, kira-kira 700 meter lagi anda akan memasuki kawasan perumahan dan tiba di resort ini.