Cabaran memancing Di Sungai Penampang

Kawasan sungai sering dijadikan salah satu kawasan riadah yang terkenal dan sering dikunjungi pada hujung minggu. Malaysia, khususnya di negeri di bawah bayu dianugerahkan kawasan sungai yang terpelihara daripada sebarang pencemaran yang membinasakan. Kawasan sungai di Sabah sering dijadikan kawasan mandi manda ataupun bagi kaki pancing boleh juga dijadikan sebagai lubuk mencari ikan.

Bila bercerita tentang cabaran memancing di kawasan sungai Sabah harus diingatkan terdapat kawasan sungai yang ditagal. Apa maksudnya? Tagal merupakan satu system yang digunapakai oleh masyarakat di Sabah yang melarang kita dari menangkap ikan di kawasan sungai yang ditagal itu. Objektif utamanya adalah untuk menjaga hidupan akuatik di dalam kawasan tersebut daripada dicemari oleh tangan-tangan manusia. Semestinya bila ada larangan, pasti ada dendanya untuk individu yang melanggar sistem tagal ini.

Cabaran lain akibat dari sistem tagal yang disebutkan ialah pilihan kawasan sungai tanpa tagal mungkin sedikit terhad. Sebagai contoh, kali ini penulis berkesempatan untuk mengunjungi sebuah lubuk di kawasan sungai Penampang. Cabarannya semestinya pilihan lubuk ini tidak menepati jangkaan kaki pancing. Boleh dikatakan ikan di kawasan lubuk yang saya lawati tidak memakan umpan dengan mudah kerana ikan-ikan ini lebih bersifat ‘jinak’ mungkin disebabkan diet pemakanannya melalui ‘baja ikan’.

Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah sekiranya kawasan Sungai di Sabah bukanlah pilihan utama kaki pancing yang ingin memburu disebabkan sistem tagal yang telah disebutkan dan sifat ikan itu sendiri.