Kopi Sotong Sedili

Bila tibanya musim mencandat sotong di sebelah pantai timur, dari Kelantan, Terengganu, Pahang sehingga ke Johor sudah pastinya penggemar dan pemancing tegar spesis berjanggut ini tidak akan melepaskan peluang. Mac hingga September merupakan waktu yang sesuai untuk mencandat sotong di sepanjang perairan pantai timur semenanjung.

Berkali sudah aktiviti mencandat di lakukan, di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak tahun 2010. Kali ini kami berpeluang mencandat di perairan paling selatan iaitu Sedili Johor. Kali terakhir kami mencandat 2 tahun yang lalu di perairan tioman menggunakan bot fiber dan hasilnya tidak kurang hebatnya. Bulan Mei tahun 2022, kami kembali menggunakan bot tongkang dan trip mencandat kali ini dijalankan selama 2 hari 1 malam yang mana akan diselang selikan dengan pancingan ikan menggunakan teknik bottom.

Seperti biasa, walau pelbagai pilihan candat di pasaran. Kami tetap mempercayai dan yakin dengan kemampuan candat jenama Bakau dari TCE Tackles Sdn Bhd. Bakau mempunyai hampir 30 jenis candat  pelbagai jenis dan fungsi yang boleh disesuaikan dengan kepelbagaian teknik mencandat serta memikat pelbagai jenis sotong yang terdapat di tanahair kita. Untuk trip kali ini, kami memfokuskan kepada 4 jenis candat iaitu Ika Metal Squid Jig, Rocket Squid Jig, Buntar S Squid Jig dan Hanta Egi Squid Jig kerana target kami kali ini adalah sotong torak.

Ika Metal Squid merupakan candat yang bertindak sebagai batu ladung kepada perambut apollo sotong kami. Badan yang disaluti glow luminous, mata 3D, dilengkapi mata kail Fire Eagle dan mempunyai variasi warna serta berat dari 56g sehingga 110g. Peranan sebagai pemberat merangkap pemikat sotong dari Bakau jenis Ika Metal Squid ini benar-benar membantu kami menaikkan lebih banyak sotong.

Buntar S Squid Jig memang tidak dapat dinafikan lagi keupayaannya. Penulis dan Izwan yang menggunakan candat Buntar S tidak menang tangan dibuatnya. Setiap kali candat diturunkan, ianya tidak mengambil masa yang lama untuk sotong terpikat dan berjaya menaikkannya. Candat ini dilengkapi dengan luminous di bahagian pangkal dan kepala yang sememangnya menarik minat dan perhatian sotong.

Salmi yang menggunakan Rocket Squid jig turut meriah menaikkan sotong, beberapa kali beliau berjaya menaikkan 3 ekor sotong sekali gus. Candat ini yang dibaluti kain kilat berwarna putih dan merah yang merupakan warna hakiki kegemaran sotong di mana-mana lokasi di semenanjung Malaysia.

Kami berislih ganti menaikkan sotong bermula jam 6.00pm sehingga jam 10.00 malam tanpa henti. Tatkala sotong semakin kurang tergoda dengan candat kami, di tambah dengan keadaan arus yang semakin laju dan laut yang semakin kuncah, barulah kami berhenti dan berehat untuk makan malam. Tanpa kami sedar setiap seorang dari kami hampir berjaya memenuhkan bakul yang diberikan oleh tekong.

Suasana semakin dingin selepas itu, alun semakin kuncah dan arus bertambah laju. Hampir jam 12.30 malam, kami mengambil keputusan untuk berhenti. Tekong mengajak kami berpindah ke lokasi pancingan dasar. Namun apakan daya, hanya ikan2 kecil dan yu cicak yang sudi menjamah umpan sotong segar yang kami hulurkan.

Jam 9 pagi, kami bergerak pulang ke jeti, perjalanan ke jeti Sedili Besar mengambil masa 2 jam dan kami menggunakan peluang untuk melepaskan lelah dan berehat sebentar sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Secara keseluruhannya, trip mencandat kali ini boleh dikatakan agak cemerlang kerana kami berjaya mendaratkan 72kg sotong setelah ditimbang sebelum dibahagikan kepada ahli trip. Faktor air yang linang dan tidak berarus pada siang dan subuh menatijahkan kami gagal menaikkan ikan bersaiz besar dengan pancingan dasar. Hanya sotong mengubat kekecewaan sebelum arus deras dan alun kuncah merenjatkan sesi mencandat kami. Sekali lagi candat keluaran Bakau menjadi wira kami kerana sangat berkesan dan mampu bertahan sehingga selesai sesi pancingan kami walau di asak ratusan sotong.

Kami pasti akan kembali pada musim sotong tahun hadapan dan pastinya candat keluaran bakau menjadi pilihan kami. Dapatkan candat Bakau di mana-mana cawangan TCE Tackles berhampiran dengan anda. Majulah sukan memancing untuk semua.

Nukilan,
-Shuhairul APFT